Hidup ini umpama roda. Ada masanya gembira. Ada masanya bersedih. Ada masanya resah. Ada masanya akan sentiasa gelisah. Inilah yang dikatakan kehidupan. begitu juga dalam alam berumah tangga. Sesekali aku teringat kata-kata SN A. Samad Said dalam novel Hujan Pagi yang berbunyi " Rumah tangga bukan semuanya syurga, kerana rumah tangga ada gerak gempanya juga. Tapi gerak gempa itulah yang memberi erti sebenarnya syurga rumah tangga".
Bertahun-tahun perasaan ini tersimpan. Bertahun-tahun perasaan ini terpendam dalam diam. dan puluhan tahun juga kesabaran ini teruji. Inilah yang aku alami. Betapa sekian lama, sebak dan resah ini menyelubungi perasaan, dan ada kalanya seakan mahu kupecahkan segalanya, namun kesabaran masih kejap merenggut tangkai hati. Tidak membenarkan aku untuk merungkaikan segala keresahan dan kegelisahan ini.
Bukan aku tidak berani. Bukan aku hilang pertimbangan dan bukan juga aku meletakkan kedayusan pada diri tunggal ini. Bukan. Tapi kewarasan dan kebarangkalian yang tidak memungkinkan aku untuk melakukannya. Aku tidak pernah meminta apa-apa. Aku tidak pernah minta dipuja. Dan aku juga tidak pernah untuk mendambakan sebuah watikah yang menperakui kebaikan. Tapi terkadang, orang lain tidak pernah memikirkan perasaan. Mereka sentiasa inginkan kepuasan duniawi. Menjaga silaturrahim keluarga sendiri dan tetap mengutamakan hal peribadi. Yang tinggal hanya aku, kelu dalam diam. Memendam perasaan yang kusam dan melihat langit yang semakin kelam.
Keikhlasan aku pada mereka tidak pernah mereka tahu. Sekalipun betapa aku berusaha untuk menjaganya. Betapa aku bersusah payah membahagiakan. Betapa aku berhabisan untuk sebuah ketenteraman. namun semuanya hanya menjadi mainan pertuturan. Saat yang semakin menghimpit ini, terkadang membuatkan aku kelu dan semakin menyendiri. Pertuturan yang semakin bisu. Tindakan yang semakin kaku. Fikiran yang telah lama buntu.
Aku tidak pernah mengimpikan sebuah kehidupan yang gemilang dan terbilang. Aku tidak pernah mengharapkan kebahagiaan yang menggunung dan agung. cukuplah sekadar sebuah kehidupan yang ceria dan bahagia. Cukuplah sebuah ihsan yang telus dan tanpa sandiwara. Cukuplah. Tidak lebih dari itu yang kuharapkan.
Terkadang tomahan dan andaian terhadap perkara yang tidak aku lakukan membuatkan perasaan tidak keruan. Menjadikan resah dan marah sentiasa menunggu untuk keluar dan melompat jauh. Tapi hingga kini ia masih bertahan dan jaringan masih kejap menyekatnya. Adilkah? Adilkah segala tomahan yang tidak benar itu. Betapa tersayatnya perasaan. Betapa hinanya andaian. Betapa kejinya tohmahan. Namun aku rela dan pasrah. Inilah yang dikatakan kehidupan. Inilah yang dikatakan insan. Dan aku kini semakin sepi dengan rajukan.